Azam pelakon muda, Elfira Loy, untuk berhijab terlaksana saat ulang tahunnya yang ke 21 semalam. Elfira hadir ke majlis tersebut dengan imej yang sangat berbeza dari sebelumnya. Nampaknya, Elfira ingin mengikut jejak langkah adiknya, Ezlisa Loy yang sudah lama mengenakan hijab.
Ramai yang terkejut dengan keputusan beliau tersebut, namun tindakannya itu diterima baik oleh ramai pihak, termasuk ibunya. Penampilan imej terbarunya ini turut diterima baik oleh para peminatnya dilaman sosial.
Pelakon Dalam Hati Ada Taman ini berkata, dirinya nekad untuk bertudung atas tujuan untuk memperbaiki diri dan menurutnya, disebabkan itulah beliau memilih tarikh kelahiran beliau, 8 Mac untuk berubah sebagai simbolik kelahiran semula dirinya. Elfira juga sepat menyatakan bahawa dia tidak mahu berfikir mengenai segala kemungkinan yang bakal terjadi atas perubahan imejnya ini dahulu.

Elfira bersama adik-adiknya di majlis ulang tahunnya yang ke 21 (FOTO/Instagram @elfiraloy / @amirnaufalphotography)
Elfira merupakan seorang aktres muda yang sangat berbakat dan pernah digandingkan bersama pelakon-pelakon terkenal di Malaysia mahupun Indonesia. Terkini, beliau digosipkan bercinta dengan pelakon popular Baim Wong. Majlis sambutan ulang tahun Elfira semalam juga turut dihadiri oleh Baim sendiri disamping rakan-rakan artis yang lain seperti pengacara dan peserta Fear Factor Malaysia, Zoey Rahman.