Taufik Batisah, seorang penyanyi dan komposer kelahiran Singapura yang sangat popular menerusi lagu Awak Kat Mana, baru-baru ini telah mengumumkan secara rasmi bakal pasangan hidupnya, Sheena Akbal. Pengumuman yang dibuat beliau melalui akaun rasmi Instagram miliknya itu, telah mendapat perhatian bukan sahaja para peminatnya bahkan juga pihak media.
Walaupun sudah hampir 10 tahun bergiat aktif sebagai penghibur, Taufik merupakan salah seorang selebriti serantau yang agak tertutup jika berbicara soal hubungan peribadinya. Jarang, bahkan tidak pernah kedengaran sekalipun, gosip hubungannya dengan mana-mana wanita. Akan tetapi, ekoran temubual beliau bersama salah sebuah rancangan terbitan Astro baru-baru ini, desas-desus yang kononnya beliau dan Fazura serasi bersama mulai muncul.
Seperti yang dilaporkan The New Paper, beliau beranggapan bahawa sudah tiba masanya untuk beliau berkongsi berita gembira bersama-sama peminat. Tidak mustahil jika pengumuman rasmi tersebut dibuat olehnya untuk meredakan gosip yang menjadi perbualan hangat banyak pihak selama ini. Mungkin juga perkara ini dilakukan demi menjaga hubungannya dengan wanita yang digelarnya ‘Ms. Awakkatmane-to-be’ ini. Taufik juga dikhabarkan bakal menamatkan zaman bujangnya dengan pilihan hatinya tersebut pada bulan April ini.