Pada hari Sabtu yang lepas, #team1001bintang diberi kesempatan untuk memyaksikan sendiri secara dekat penggambaran telemovie Hati Yang Musafir, sebuah telemovie kerjasama MOU antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia. Program ini tidak hanya melibatkan barisan pelakon dari Brunei, bahkan juga turut dijayakan oleh para pelakon dari Malaysia.
Dalam temubual eksklusif 1001bintang bersama peneraju utama telemovie ini, Amirol Omar mengakui bahawa dirinya masih lagi baru dalam bidang lakonan dan program kerjasama ini banyak membantu memperbaiki mutu lakonannya. Beliau juga menambah, pihak kru dan Raja Farah banyak memberinya tunjuk ajar sepanjang mereka bekerja sama di Malaysia, mahupun di Brunei sendiri.
1001bintang juga berkesempatan mengadakan sesi temubual bersama Raja Farah sendiri sebelum beliau pulang ke Malaysia. Di dalam temubual tersebut, beliau menyatakan walaupun ini merupakan kali pertama menjejakkan kaki ke Brunei, ternyata beliau tidak akan menolak sekiranya ditawarkan berlakon sekali lagi di sini, meskipun harus berlakon di dalam bahasa tempatan. Saksikan temubual eksklusif bersama beliau di saluran YouTube 1001bintang!
Drama berunsur keislaman ini mengisahkan tentang Syafiq (lakonan Amirol Mukminin), seorang usahawan asal Bruinei yang memiliki sebuah hotel di Malaysia. Walaupun dimiliki oleh seorang Muslim, hotel ini tidak melarang penjualan minuman keras. Di hotel inilah, tempat Safina (lakonan Raja Farah) bekerja sebagai pembuat pastri. Pada suatu hari, Safina secara tidak sengaja terlanggar Syafiq, pemilik hotel berkenaan, dan mengotorkan bajunya dengan kek yang dibawa oleh Safina. Kejadian tersebut telah menyebabkan dirinya dipecat serta merta. Namun begitu, Safina ditawarkan bekerja di Brunei tidak lama kemudian. Secara kebetulan, pemilik kafe butik tempat Safina berkerja tersebut merupakan ibu kepada Syafiq. Menarik? Nantikan siarannya di RTB dan RTM pada bulan Syawal ini.