Pada bulan Disember yang lepas, satu berita palsu mengenai pemergian penyampai TV dan pelawak terkenal dari Indonesia, Olga Syahputra menjadi isu hangat. Namun kini, Olga (atau nama sebenarnya Yoga Syahputra) disahkan meninggal dunia semalam setelah bertarung penyakit radang selaput otak (meningitis).
Sebelum ini pengacara rancangan hiburan popular Dahsyat tersebut berada di Singapura selama hampir setahun untuk menjalani rawatan bagi penyakitnya itu. Kini, berita tentang pemergiannya itu telah didedahkan sendiri secara rasmi oleh Vera, pengurus Olga dalam satu perbualan telefon bersama Net TV.
Selain pernah menjadi penyampai TV dan berlakon, beliau juga pernah memenangi dan dicalonkan di pelbagai penghargaan berprestij Indonesia termasuklah di Panasonic Gobel Awards dan Indonesia Kids Choice Awards.
Pihak 1001bintang ingin mengucapkan salam takziah buat keluarga Allahyarham. Kami mendoakan semoga amal ibadahnya diterima dan rohnya dicucuri rahmat. Amiin.