Jika sebelum ini Trans TV pernah menjayakan konsert mini Tulus dan Judika, pada 18 November yang lalu Trans TV kembali menganjurkan konsert mini yang serupa dengan menyatukan dua nama yang kian meningkat naik di industri hiburan Indonesia dan serantau, Afgan dan Raisa.
Konsert yang berjudul ‘Afgan dan Raisa: Percayalah’ tersebut telahpun mengetengahkan konsep yang unik. Dibahagikan kepada beberapa segmen yang berbeza, penonton dibawa menikmati perjalanan cinta romantis sepasang kekasih dengan nyanyian lagu-lagu popular dari Afgan dan Raisa.
Di segmen terakhir konsert mini tersebut Afgan dan Raisa sempat memperdengarkan single duet sulung mereka, ‘Percayalah’ buat pertama kalinya di kaca televisyen.
Meskipun ini bukan penampilan pertama mereka berdua di atas pentas, namun menurut Raisa, mereka tidak lagi harus bingung untuk memilih lagu apa yang ingin dipersembahkan kerana mereka kini sudah punyai lagu sendiri. Afgan dan Raisa mengungkapkan rasa syukur dan bangga di laman sosial Instagram masing-masing atas kemunculan lagu duet pertama mereka pada 2 November yang lalu.