Mungkin ramai yang masih ingat dengan lagu ‘I Stalk Your Profile’ nyanyian Jazz Hayat yang pernah memenangi Lagu Pilihan di Anugerah Pelangi 2010/2011. Jazz Hayat atau lebih selesa dengan nama Jaz kini kembali dengan lagu terbaru, ‘Dari Mata’.
Ada juga yang mempersoalkan ke mana hilangnya Jaz selepas kali terakhir membuat persembahan di Anugerah Planet Muzik pada tahun 2013. Jaz mengakui yang dia sudah lama berdiam atau tidak membuat persembahan, mahupun keluar di kaca TV dan radio. Namun, ini bukan bermakna Jaz berhenti daripada menyanyi.
Ditanyakan mengenai perkara tersebut, Jaz nampaknya memiliki cerita pahitnya sendiri sebelum kembali dengan lagu terbarunya ini. Jaz yang kini agak sibuk mempromosikan lagu terbarunya berkata, pelbagai ujian sudah dilalui semata-mata untuk memastikan lagunya diterima baik oleh masyarakat.

Jaz mempersembahkan lagunya ‘I Stalk Your Profile’ di Anugerah Planet Musik 2013 | Sumber foto: pujanggamalam.com
Jaz, yang mempunyai keunikan suara tersendiri, bersyukur dan kini dia memandang serius dengan kerjayanya dalam dunia seni muzik yang dulunya hanya sebagai hobi dan suka-suka. Tidak menyangkakan persembahan sulungnya di Anugerah Planet Musik 2013 di Singapura menjadi platform buat Jaz untuk memperkembangkan lagi bakatnya. Di sinilah Jaz dilamar untuk bernaung di bawah syarikat rakamannya sekarang, Sony Music Indonesia.
Walaupun agak terkejut ketika menerima lamaran tersebut, Jaz mengakui berasa sungguh teruja kerana peluang itu dapat membuka pintu untuknya melebarkan sayap sebagai penyanyi di Indonesia.

Persembahan daripada Jamiel Said, Citra Scholastika dan Jaz dengan lagu “Sahabat” yang dipopularkan oleh Syamkamarul, Najwa Latif dan SleeQ di APM 2013 | Sumber foto: pujanggamalam.com
Bercakap mengenai single pertamanya di Indonesia, Dari Mata, meskipun agak takut akan ekspektasi peminat-peminat dan penerimaan masyarakat terhadap lagu tersebut, terpancar kegembiraan di wajahnya ketika menyatakan bahawa lagu dan lirik lagu tersebut adalah ciptaannya sendiri, sama seperti sebelum ini. Namun begitu, Jaz juga berbangga kerana dapat bekerjasama dengan Ivan Dewanto dan seterusnya mastering oleh Ari Aro yang juga pernah berkerja sama dengan penyanyi jazz dari Indonesia, Tulus.
Jaz berharap kehadiran nya di persada muzik akan diterima baik oleh masyarakat di Indonesia sebagaimana penerimaan positif yang diberikan kepada artis yang lainnya.
Dapatkan lagu terbaru daripada Jaz berjudul Dari Mata keluaran Sony Music Indonesia di iTunes mulai 3 Febuari 2016. Awda juga boleh mengikuti perkembangan Jaz melalui melalui Facebook , Instagram @darimanajaz dan Twitter @darimanajaz
Sama-sama kita menyokong dan memberi dorongan kepada penyayi remaja kelahiran Brunei.
OLEH: Zulhelmi Kamaluddin & Adi Faiz Jaludin