SHE RUNS bukan sahaja acara sukan terbesar khusus buat wanita di Brunei, bahkan juga buat peminat fanatik selebriti antarabangsa tanahair, Wu Chun. Larian amal tersebut mendapat penyertaan wanita dari 16 buah negara, termasuklah Christine, 19, yang berasal dari China.
Christine menganggap dirinya sebagai salah seorang daripada peminat setia Wu Chun. Beliau sudah meminati artis pujaannya tersebut sejak berusia 10 tahun lagi. “Ini merupakan kali kedua saya menyertai acara ini. Saya juga menyertainya pada tahun lepas,” kongsinya kepada media tempatan di acara berkenaan.
Apabila ditanyakan mengapa beliau begitu meminati Wu Chun, Christine berkata “Selain ketampanannya, Wu Chun mempunya personaliti dan karakter yang menarik. Melalui acara hari ini, kita boleh tahu yang beliau merupakan seorang yang baik hati dan rendah diri kerana menganjurkan acara amal yang besar seperti ini.”
Christine juga merasakan behawa penerbangannya dari China tidak sia-sia kerana dapat memberi sokongan kepada acara anjuran selebriti kesayangannya itu.
Dalam masa yang sama, Ah Dee, seorang lagi peminat setia Wu Chun dari luar negara berkata, “Acara yang dianjurkan hari ini sangat teratur dan saya berharap saya akan terus menyokong Wu Chun dalam penganjuran acara-acara amal beliau nanti.” Beliau juga berharap dapat kembali ke Brunei untuk menyertai larian She Runs lagi pada tahun hadapan.
Selepas berakhirnya larian amal tersebut, Wu Chun sempat mengongsikan rasa berbesar hati kepada mereka yang menyertai larian itu termasuklah para peminatnya yang sanggup terbang ke Brunei semata-mata untuk menghadiri acara istimewa yang bertujuan untuk memberi kesedaran terhadap hak asasi wanita dan untuk mengutip derma bagi Yayasan Kanser Kanak-kanak dan Persatuan Olimpik Orang-orang Berkeperluan Khas Brunei Darussalam.
Sumber: Borneo Bulletin, Isnin, 16 Mei 2016