OLEH: Zulhelmi Kamaluddin
Anugerah Planet Muzik (atau secara ringkasnya, APM) merupakan satu-satunya anugerah yang memberi penghargaan kepada penggiat-penggiat muzik dari negara-negara serumpun. Anugerah yang buat pertama kalinya diadakan di Singapura pada tahun 2001 ini, kini akan memasuki tahun yang ke 15 penganjurannya.

Aziz Harun, penyanyi muda yang berasal dari Brunei ini bersaing dengan Elizabeth Tan dan Harris Baba di dalam kategori Kolaborasi Terbaik di APM2016 akan datang | Sumber foto: galaksi-media.com
Pada tahun ini, Singapura sekali lagi menjadi tuan rumah penyelenggaraan anugerah yang dianggap berprestij ini pada 30 September depan dan boleh diikuti secara langsung di 4 buah negara: Saluran Astro Ria HD (Malaysia & Brunei), Mediacorp Suria (Singapura) dan NET TV (Indonesia).
Pencalonan Artis Brunei
Bagi warga Brunei, sudah lama kita nantikan artis-artis kita tercalon di anugerah muzik yang menyatukan negara-negara serumpun ini. Jika tahun lepas, kita hanya melihat Aziz Harun tersenarai di kategori Artis Baru Lelaki Terbaik, di APM 2016 ini pula, Jaz Hayat pula menggantikan tempat beliau di dalam kategori yang sama menerusi lagu Dari Mata.

Jaz Hayat ketika membuat persembahan bersama Jamiel Said dan Citra Scholastika di APM 2013. Sumber foto: Pujanggamalam.com
Tahun ini merupakan kali kedua Aziz Harun ternominasi di Anugerah Planet Muzik. Pada kali ini, beliau akan bersaing bersama rakan-rakan beliau di bawah syarikat rakaman yang sama – Elizabeth Tan dan Haris Baba di bawah kategori Kolaborasi Terbaik.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa selain penglibatan Aziz Harun dan Jaz Hayat di Anugerah Planet Muzik, Faiz Nawi, juga penyanyi asal Brunei pernah dijemput untuk membuat persembahan beberapa tahun yang lalu.
Meskipun belum ada kategori khas buat artis-artis kita, pencalonan mereka ini sudah cukup untuk melambangkan sifat keterbukaan dan penerimaan masyarakat serantau terhadap penggiat seni tempatan secara perlahan-lahan.

Faizal Tahir ketika mempesembah lagu ‘Assalamualaikum’ pada malam Anugerah Juara Lagu 30 di Stadium Malawati Shah Alam. NSTP/HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Di Anugerah Planet Muzik tahun ini, terdapat 19 kategori yang dipertandingkan. Faizal Tahir mengungguli pencalonan APM kali ini dengan 7 nominasi, kemudian diikuti oleh Taufik Batisah dan Sufi Rashid dengan 6 nominasi. Biarpun baru pertama kali tercalon di APM, penyanyi dan pelakon popular Malaysia, Ayda Jebat juga berjaya meraih sebanyak 5 nominasi.