1001 Personaliti / Brunei

‘Bisik Hati’ Maria Selama Sedekad

Photo 9-13-17, 11 46 36 PM.jpg

SATU dekad bukan jangka masa yang singkat. Dalam satu dekad itu, anak yang baru dilahirkan mungkin sudah bersekolah, yang bujang mungkin sudah berumah tangga dan yang berkahwin mungkin sudah mempunyai cahaya mata.

Di dalam jangka masa sepuluh tahun itu jugalah, insan seni bernama Meria Aires atau lebih dikenali sebagai Maria ini, membesar dan berkarya.

Wanita bertubuh kecil molek ini memang dikenali sebagai seorang yang lemah lembut dan ramah. Aura tersebut sudah dapat kami rasakan sejak pertemuan pertama bersama Maria lagi untuk berbincang mengenai projek Wajah 1001 edisi pertama ini.

Maria hadir ke studio Visual Dimensions bersendirian, tanpa ditemani pengurus mahupun pembantu. Otak fikiran kami dipenuhi dengan pelbagai persoalan kerana kami tahu, Maria dahulu mempunyai pengurus. Persoalan kami terjawab sedikit demi sedikit di dalam temubual eksklusif ini.

Penggambaran ini diadakan pada bulan Ramadan yang lalu. Dan meskipun bukan beragama Islam, beliau tetap menghormati ahli kru lain yang sedang berpuasa.

Titik Permulaan

Menurut Maria, perjalanan seninya bermula ketika menyertai sebuah pertandingan nyanyian radio Kristal FM pada tahun 2005. Dikala peserta lain berlumba-lumba untuk membawakan lagu-lagu yang popular pada masa itu, Maria yang baru berusia 16 tahun, dengan bangganya membawakan lagu cipataan ayah saudaranya sendiri, Nan.

Photo 9-13-17, 11 45 19 PM

Arena music tanahair pada waktu itu tidaklah semeriah sekarang. Tidak ramai yang mengenal lagu-lagu cipataan orang tempatan. Sungguh berbeza dengan sekarang di mana penggiat seni tanah air sudah semakin kreatif, bijak dan berani sehingga boleh menembusi pasaran serantau – satu yang dianggap mustahil satu dekad yang lalu.

Meskipun Maria tidak memenangi pertandingan tersebut, lagu yang berjudul ‘Angan’ itu, anehnya mendapat permintaan yang tinggi dikalangan pendengar radio.

“Pada masa atu, ramai yang menyangka bahawa lagu tersebut merupakan lagu Malaysia,” ujarnya sambal tergelak.

Mungkin kerana tidak banyak lagu-lagu tempatan yang diputarkan pada waktu itu.

Akhirnya, disebabkan oleh sambutan yang diluar jangkaan oleh pendengar radio, timbullah hasrat untuk mencuba nasib dengan lagu yang lain. Cadangan Nan agar Maria mengeluarkan single baru di radio bagaikan satu batu loncatan buat Maria.

‘Bisik Hati’ –  Signature Song

Lagu ‘Bisik Hati’ merupakan pertaruhan pertama Maria di arena musik tempatan. Walaupun bukan lagu nyanyian pertama beliau yang diputarkan di radio, lagu ciptaan Nan tersebut berjaya mengangkat nama Maria sehingga menjadi penyanyi yang sangat dikenali di negara ini.

Perlahan-lahan, beliau mula diundang untuk membuat persembahan di majlis-majlis korporat, sehinggalah akhirnya ke kaca televisyen.

Tidak terasa, sudah sepuluh tahun lagu ini menjadi siulan penggemar musik tempatan dan selama jangka masa sedekad itu jugalah lagu ini akhirnya menjadi sebati dengan identiti wanita berdarah Iban ini.

Jika Dato’ Siti Nurhaliza punyai ‘Cindai’, Anuar Zain punyai ‘Keabadian Cinta’ dan Afgan punyai ‘Terima Kasih Cinta’, Maria pula punyai ‘Bisik Hati’. Ia bagaikan sudah menjadi ‘signature song’ buat Maria di kalangan peminatnya.

Photo 9-13-17, 11 45 21 PM

Mula Bergerak Solo

Mungkin ada yang tidak tahu, ketika lagu ‘Bisik Hati’ mula diputarkan suatu ketika dahulu, Maria sebenarnya merupakan penyanyi utama kumpulan atau band bernama ‘Destine’, yang juga dianggotai oleh sepupu dan saudaranya sendiri.

Akan tetapi, ianya tidaklah semudah yang disangka. “Masing-masing masih muda,” katanya, merujuk kepada situasi pada waktu itu.

“Semua ada komitmen dan kemahuan tersendiri. It’s very difficult to handle a band,” ujarnya lagi.

Detik Bermakna

Keputusan untuk berpisah dari kumpulan ‘Destine’ telah membuka lembaran baru bagi Maria.

Di dalam temubual eksklusif kami ini, Maria sempat merista kembali kenangan istimewa dan penting di sepanjang kerjayanya sebagai penyanyi.

Memenangi anugerah perak ketika mewakili RTB di pertandingan ABU Radio Song Festival di Korea Selatan pada tahun 2012 merupakan salah satu pengalaman yang paling bermakna buat Maria.

Ketika ditanyakan tentang kolaborasi yang paling digemarinya selama sepuluh tahun bergelar anak seni, Maria dengan pantas menjawab, kolaborasinya bersama Merah Band dari Singapura. Menurutnya, meskipun mereka mempunyai genre yang berbeza, Merah Band bijak dalam memberi kebebasan menggubah lagu tersebut menurut keselesaannya, sehinggalah pada tahun 2011, Maria dan Merah Band tampil dengan lagu ‘Biar Sampai Akhir’.

Photo 9-13-17, 11 45 04 PM

Tawar Hati

Jangka masa sepuluh tahun merupakan waktu yang cukup panjang untuk membentuk pola pemikiran yang lebih matang bagi Maria.

Mengaku merasa tawar hati dengan industri hiburan tempatan, penyanyi yang pernah merangkul gelaran sebagai ‘Artis Wanita Pilihan’ di Anugerah Pelangi buat beberapa kali ini, pernah sepi buat seketika dari industri hiburan tempatan.

“Bukan senang sebenarnya untuk menjadi konsisten dan mempertahankan apa yang sudah kita capai. Saya sendiri pernah berada di atas, pernah berada di bawah. To get that peak up again, payah sebenarnya.” jelas Maria.

“Mungkin salah satu cara saya untuk kembali naik ke atas adalah dengan mengeluarkan lagu baru dan lagu tersebut haruslah bagus. Akan tetapi, untuk menghasilkan lagu yang betul-betul bagus juga merupakan satu proses yang rumit,” tambahnya lagi.

“Sejujurnya, saya merasa kecewa kerana apa yang saya nampak, terkadang usaha kita sebagai insan seni seakan inda berbaloi dan inda dihargai. Memang, ramai yang menyokong artis tempatan. Akan tetapi, dari sudut kewangan, jauh sama sekali,” keluhnya.

Walaupun ada pihak yang merasakan Maria tidak seharusnya menyepi dari industri nyanyian, namun Maria tidak menyesal dengan keputusan yang beliau buat pada waktu itu untuk bercuti buat sementara waktu.

Menurutnya, ia telah memberinya ruang untuk berfikir tentang apa yang benar-benar diinginkannya.

Kini & Seterusnya

Pada 27 Julai yang lalu, Maria akhirnya dilantik untuk menjadi duta Parkview Hotel, Jerudong. Ini bukan kali pertama Maria dipilih untuk menjadi duta jenama. Sebelum ini, Maria merupakan wajah bagi jenama kecantikan Rosken dan minuman Pokka.

Photo 9-13-17, 11 50 05 PM

Sudah lama sebenarnya Maria mewarnai dunia hiburan Brunei. Sudah sepuluh tahun lamanya. Tawaran dari kenalannya di Indonesia untuk mencuba nasib dipasaran luar tidak disia-siakannya.

Walaupun mengakui ianya tidak mudah, akan tetapi mungkin sudah tiba masanya untuk beliau kembali aktif, menurutnya.

Apa yang membuatkan kami teruja ialah, ketika temubual ini dilakukan, proses rakaman sudah memasuki lagu yang ke lima dan semalam, Maria berangkat lagi ke Jakarta atas tujuan tersebut.

Menurut penyanyi kecil molek ini, ’Bisik Hati’ bagaikan sebuah teaser bagi menggambarkan kebangkitan semula beliau. Selepas ini, lagunya yang berjudul ‘Sekali Lagi’ pula yang akan dikeluarkan dengan susunan muzik yang lebih fresh. Khabarnya juga, Maria akan tampil dengan 6 buah lagu-lagu baru ciptaan sepenuhnya komposer-komposer dari Indonesia yang bakal diterbitkan tidak lama lagi.

“Tidak seperti kelazimannya, saya inda akan mengeluarkan lagu baru saya di radio. 6 buah lagu tersebut akan termasuk di dalam album yang akan dikeluarkan nanti,”

Dalam masa yang sama, Maria juga kini sibuk merakamkan lagu-lagu di dalam bahasa Iban yang kini sudah diperdengarkan di corong-corong radio Sarawak. Lagu-lagu tersebut pula, katanya sudah mendapat sambutan yang cukup baik dari pendengar di sana.

Dalam erti kata lain, Maria kini bukan sahaja ingin melebarkan sayap di rantau ini dengan lagu-lagu yang mainstream sahaja, bahkan juga lagu dan genre yang benar-benar melambangkan identiti sebenarnya.

Bagaimanakah kisah perjalanan seni Maria sepanjang satu dekad yang mendatang? Sama-sama kita nantikan.

Oleh: Zulhelmi Kamaluddin & Adi Faiz Jaludin


1001 Personaliti ISU 001 - Maria Aires (Cropped)

Ketua Editor & Pengarah Seni: Zulhelmi Kamaluddin
Penolong Pengarang: Adi Faiz Jaludin
Jurugambar: Izzy Osman
Tata Rias & Dandanan: Dragons & Pixie Dust by Muaz Al-Rashid
Penata Gaya: Jeera Abdullah, Dilys Chai & Tarrence Tan
Juru Kamera Video: Kip Hafizuddin
Grafik: Fikri Afif Daud
Pengurus Lokasi & Logistik: Asheey Ali
Penolong Kru Lokasi: Mel Abd Razak

PENGHARGAAN:-

Penaja Pakaian: Rack & Brew
Penaja Lokasi: Visual Dimensions Production


Hak Cipta Terpelihara – 1001 Entertainment

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s