Kolaborasi kedua Aziz Harun bersama Faizal Tahir tahun lalu ternyata membawa tuah kepada penyanyi kelahiran Brunei ini. Di acara Anugerah Planet Muzik (APM) yang berlangsung di Singapura semalam, Aziz Harun berjaya merangkul penghargaan di dalam kategori ‘Kolaborasi Terbaik’ menerusi lagu Beautiful. Apa yang menarik, kemenangan beliau tersebut melakar sejarah baru APM kerana ini merupakan kemenangan sulung Brunei sejak acara ini diadakan buat pertama kalinya pada tahun 2001.
Jika sekiranya di APM tahun lepas, Aziz Harun pernah tercalon di dalam kategori Artis Baru Lelaki Terbaik, dikeluarannya kali ini pula tempat beliau digantikan oleh seorang lagi artis asal Brunei, Jaz Hayat menerusi lagu Dari Mata. Namun begitu, kemenangan jatuh ke tangan Risky Febian, seorang penyanyi asal Indonesia yang namanya semakin dikenali dirantau ini dengan lagu Kesempurnaan Cinta.
Ayda Jebat & Sufi Rashid Menang Besar
Mungkin sedari awal lagi, sudah ramai yang merasakan Ayda Jebat bakal menang besar di edisi APM tahun ini dan sememangnya kemenangan beliau di tiga kategori (Lagu Paling Popular, Artis Paling Popular & Ikon Media Sosial) semalam, disambut meriah oleh peminat-peminatnya di laman-laman media sosial Twitter dan Instagram.
Dalam pada itu, pemenang Akademi Fantasia pertama dari Singapura, Sufi Rashid juga berjaya memenangi dua penghargaan lokal di dalam kategori Artis Paling Popular Singapura dan Lagu Popular Singapura, bersaing dengan penyanyi-penyanyi tempatan yang lain.
Afgan & Raisa – gabungan suara emas terbaik Indonesia!
Dua penyanyi terhangat Indonesia masa kini, Afgan dan Raisa juga berjaya merangkul anugerah Duo/Kumpulan Terbaik menerusi lagu Percayalah. Kemenangan ini bagai bukti kebolehan dua suara emas ini bukan sahaja dalam menyanyi bahkan juga dalam mencipta lagu bersama Adrian Rahmat Purwanto (komposer) kerana beberapa hari lepas, lagu berhantu mereka tersebut juga berjaya mendapat dua penghargaan di Anugerah Musik Indonesia (AMI).
Ingin mengetahui senarai pemenang yang lain? Berikut adalah senarai penuh kategori dan pemenang Anugerah Planet Muzik (APM2016) tahun ini:
KATEGORI TERBAIK:
- Artis Baru Terbaik (Lelaki) – Risky Febian (Kesempurnaan Cinta)
- Artis Baru Terbaik (Wanita) – Yuka Kharisma (Hati Berbisik)
- Duo / Kumpulan Terbaik – Afgan dan Raisa (Percayalah)
- Band Terbaik – Musikimia (Dan Bernyanyilah)
- Kolaborasi Terbaik (Artis) – Awi Rafael dan Ayai (Manusia Sempurna)
- Kolaborasi Terbaik (Lagu) – Beautiful (Aziz Harun)
- Artis Terbaik (Lelaki) – Glenn Fredly (Perempuanku)
- Artis Terbaik (Wanita) – Raisa (Kali Kedua)
- Lagu Terbaik (Singapura) – Bertemu Kembali (Haikal)
- Lagu Terbaik (Malaysia) – Hanya Nama Mu (Caliph Buskers)
- Lagu Terbaik (Indonesia) – Dan Bernyanyilah (Musikimia)
KATEGORI POPULAR:
- Ikon Media Sosial – Ayda Jebat
- Artis Paling Popular (Singapura) – Sufi Rashid
- Lagu Paling Popular (Singapura) – Kisah Dua Muka (Sufi Rashid)
- Lagu Paling Popular APM – Pencuri Hati (Ayda Jebat)
- Artis Paling Popular APM – Ayda Jebat
KATEGORI KHAS
- Anugerah Rentas Planet (International Breakthru Artiste Award) – Yuna
- Anugerah Khas Planet Muzik – S. Atan
Oleh: Zulhelmi Kamaluddin | Sumber foto: Mediacorp Suria & Anugerah Planet Muzik