1001 Personaliti / Brunei

Ezah Hashim: A New Beginning

SUARA lembut Ezah Hashim bergema merdu memenuhi ruang amfiteater saat membuat persembahan istimewa di pentas berprestij Anugerah Pelangi 2017. Tanggal 4 November itu menjadi tarikh keramat – bagaikan saksi kemunculan semula penyanyi asal Kuala Belait ini di kaca televisyen sejak tahun 2013.

Siapa sangka, kendati hampir setengah dekad mengasingkan diri dari dunia tarik suara, diam tanpa khabar berita, penampilannya di atas panggung tersebut diterima baik pencinta muzik tanahair.

Sambutan di luar jangkaan di media sosial membuktikan ramai yang masih merindui suara penyanyi kelahiran program nyanyian popular, Passport to Fame (P2F) musim kedua ini.

Sudah lama saya tertanya-tanya, mengapa baru kini beliau kembali? Mengapa pula beliau menghilang sebelum ini? Lantas, bersama jiwa yang dihantui rasa ingin tahu, saya sapa penyanyi ini untuk bertanya ‘abar’ sekaligus mengundangnya menjadi penghias ruangan 1001 Personaliti edisi ke sembilan – sebuah keluaran khas, ‘The Music Issue’.

Tertulis & Penulis

Ternyata undangan dari Pelangi FM untuk membuat comeback tersebut berjaya membuka hatinya untuk kembali aktif berkarya. Rasa rindu untuk berada di pentas muncul semula bak sinar baharu.

Beberapa bulan berikutnya, atas saranan dari sang suami, beliau tampil dengan nukilan terbaru berjudul ‘Tertulis’ – sebuah kado istimewa buat peminatnya yang sentiasa menantikan karya fresh dari penyanyi ini.

Idea datang dari my husband. It was in January 2018 when we got the lyrics dari Sang Hikayat. It took me about 6 months untuk dapatkan melodi yang sesuai untuk lirik atu,” jelasnya menjawab persoalan saya.

Ini bukan kali pertama Sang Hikayat dan Ezah berkolaborasi. Malah, lagu ‘Seluruh Nafasku’ yang dirilis pada tahun 2012, juga menggunakan khidmat penulis lirik yang sama. Tidak diragui, gabungan tersebut memang hebat. Namun, kebolehannya dalam mencipta lagu juga layak diberi perhatian. Setiap karyanya pasti hit di corong-corong radio. Bahkan, ciptaan pertamanya tersebut masih menjadi siulan hingga ke hari ini.

Memang diakui, bukan mudah buat lagu tempatan bersaing dengan lagu-lagu dari luar tanpa ‘karya yang kuat’. Apatah lagi buat penyanyi program realiti yang masih setahun jagung dalam industri. Lebih menyedihkan, penerimaan masyarakat tempatan terhadap karya anak kitani pada ketika itu masih kurang.

Mujur, adanya inisiatif dari beberapa stesen radio tempatan untuk mewujudkan platform khas yang memberi peluang eksklusif buat penggiat muzik tempatan bersaing secara sihat dalam pasaran yang lebih niche.

Ezah inda jua expect ramai yang meminati lagu Seluruh Nafasku. It’s just, dulu atu, in terms of exposure (sama penerimaan), bukan macam masa ani. Ezah bersyukur sebab lagu ‘Tertulis’ diterima ramai,” tambahnya.

Lagu tersebut bukan sahaja berjaya menjuarai carta di Pelangi FM selama sepuluh minggu berturut-turut sejak pertama kali diputarkan di radio pada bulan Ogos 2018, bahkan turut melayakkan Ezah Hashim untuk tercalon dalam senarai Top 10 kategori ‘Vokal Wanita Pilihan’ dan ‘Lagu Pilihan’ di Anugerah Pelangi yang akan datang.

Passport to Fame

Perbualan kami berbalik semula pada P2F – kompetisi nyanyian yang telah mengangkat nama ‘Ezah’ pada tahun 2008. Mengimbau kembali kenangan Ezah Hashim, atau pemilik nama sebenar Nur Izzah binti Haji Mohammad Hashim sewaktu menyertai pertandingan tersebut, jelas sekali penyanyi kecil molek ini punyai semangat yang kental dan cintanya pada muzik begitu besar.

Waima terpaksa berulang alik dari Kuala Belait (KB) ke Bandar Seri Begawan setiap minggu demi memenuhi kehendak penganjur, ia tetap tidak mematahkan semangatnya untuk bernyanyi. Bukan itu sahaja, she brought the whole town with her!

“Waktu atu Ezah dalam ‘Form 5’. At that time, Ezah semangat berabis. Ezah peserta audition yang pertama di RTB, KB!” jelasnya sambil tergelak.

“Ezah beruntung sebab mempunyai family yang sangat suportif, terutama sekali my parents and my uncle.  Ezah berterima kasih banyak-banyak arah my parents dan seluruh ahli keluarga Ezah yang sanggup minggu-minggu ulang-alik dari KB ke Bandar – Bandar ke KB, untuk menyokong Ezah sepanjang Ezah berada di pertandingan atu.”

Jelas, dorongan yang diterimanya ketika itu benar-benar membantu agar tetap cekal dan bersemangat.

Tiket ke Hati

Pertandingan ‘Passport to Fame’ bukan sahaja menjadi titik tolak kerjaya Ezah di lapangan seni, bahkan telah membuka gerbang baharu bersama insan bernama Asde Nawang.

Pertemuan Ezah dan Asde rapi dirancang takdir. Walhal saat itu, tidak ada yang bisa menebak jika hubungan Ezah dan Asde bakal sampai ke jinjang pelamin. Bersaing di program yang sama, masing-masing fokus pada latihan dan persediaan untuk persembahan mingguan.

Di minggu ke enam, Asde tersingkir. Ezah pula, mara terus hingga ke final. Meskipun tersungkur di tengah jalan, Asde tetap hadir di konsert mingguan, memberi sokongan moral kepada Ezah yang masih berada di dalam pertandingan.

“Dari awal pertandingan, Ezah and Asde kenal cematu-cematu saja. Selepas P2F barutah kami rapat,” jelasnya.

“Setelah mendirikan rumah tangga, masa atu Ezah decide kan take a break dari bidang nyanyian. Ezah kan fokus dulu arah family and anak.”

People around Ezah, especially my family  selalu bagi semangat untuk Ezah menyanyi lagi. So, masa dapat offer dari Pelangi FM untuk membuat persembahan di Anugerah Pelangi hujung tahun 2017, Ezah terima,” tambahnya lagi.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 7 Mac 2013. Hasil pernikahan tersebut, mereka dikurniakan seorang puteri yang kini sudah memasuki usia 4 tahun.

Langkah Seterusnya

Perlahan-lahan, insan seni ini mula menampakkan taring. Benar belaka kata pepatah, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada yang tahu. Lagu ‘Tertulis’ sekali lagi membawa tuah kepada penyanyi ini. Selain mengungguli carta di radio-radio tempatan, lagu ini sudah disunting oleh pihak Warner Music Malaysia untuk diedarkan di pasaran sana pula.

“Inda dijangka lagu ‘Tertulis’ sampai ke Warner Music. Insya Allah, kalau jadi, bulan Oktober nanti Ezah kan ke KL untuk membuat promosi lagu ‘Tertulis’ di sana (radio dan televisyen). Sekiranya jadi, Ezah akan update di Instagram,” jelasnya apabila ditanya soal berkenaan.

“Ezah berpeluang untuk melesenkan lagu atu di Malaysia, di bawah edaran Warner Music. Inda sangka yang lagu ‘Tertulis’ boleh pergi sejauh ani,”

“Ezah harapkan agar lagu ‘Tertulis’ dapat diterima ramai jua di sana, Amin! Kalau buleh kana pakai untuk OST drama,” ujarnya berseloroh.

Beliau yang kini berada di Singapura bagi mewakili negara di program Rapsodi 2019, sudah pun membuat perancangan untuk mengeluarkan lagu terbaru. Sememangnya, momentum yang dinikmati Ezah sejurus selepas comeback di pentas Anugerah Pelangi sebelum ini harus diteruskan. Bagaimana pula nasib Ezah dan lagu ini di malam anugerah itu nanti? Kita nantikan bersama.

“Kepada peminta-peminat yang sentiasa menyokong Ezah, terima kasih yang inda terhingga sebab without kamu, Ezah inda kan berada di sini. So, thank you!”


Ketua Pengarang: Zulhelmi Kamaluddin
Arahan Seni: Zulhelmi Kamaluddin & Fikri Afif Daud
Jurugambar: Rafie HS
Penata Gaya: Fikri Afif Daud
Penata Rias Wajah: Hazimah Matusin | Make-up by Hazimah
Pembantu Set: Intan Nawwarah
Pembantu Wardrobe: Raihani Rafie

Penaja Pakaian:
Al-hayaah
Behati
Ivan Young
LANA
WANPA


Hak Cipta Terpelihara (2019) – 1001 Entertainment

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s